Kisah dimulai dengan pemerintahan Raja Phaya Tu
Kerub Mahajana di Kota Mahligai. Setelah baginda mangkat, lalu diganti oleh
puteranya Phaya Tu Antara yang menggelarkan dirinya Phaya Tu Naqpa. Seterusnya
pada masa inilah negeri Patani dibuka dengan nama Patani al-Salam.
Phaya Tu
Naqpa memperoleh dua orang putera dan seorang puteri, iaitu Kerub Picai Paina,
Tungku Mahacai dan Mahacai Pailang. Pada masa pemerintahan Phaya Tu Naqpa
inilah juga negeri Patani menerima ajaran agama Islam. Dikisahkan bahawa
baginda telah menghidap penyakit (merkah tubuh). Kemudian seorang orang Pasai
bernama Syekh Said telah berjanji untuk mengubati baginda sekiranya baginda
mahu memeluk agama Islam. Dari sinilah bermulanya baginda dan rakyat Patani memeluk
agama Islam. Setelah beraagama Islam baginda bergelar Sultan Ismail Syah.
Anaknya yang sulung bergelar Sultan Mudaffar Syah. Puterinya bergelar Siti
Aisyah dan yang bongsu bergelar Sultan Manzur.
Perhubungan dengan Negara asing
bermula pada masa ini apabila sebuah wangkang dari China datang ke Patani
membawa sebutir peluru yang besar. Daripada peristiwa ini, baginda lalu
menitahkan pembesar-pembesar supaya mencari tukang membuat meriam dah bedil.
Semasa pemeritahan Sultan Mudaffar Syah, perdaganagn
di Patani telah berjalan dengan pesat. Patani juga mulai terkenal sebagai
sebuah negara yang telah memeluk Islam. Sebuah masjid didirikan dan seorang
syekh dari Pasai, iaitu Syekh Safiuddin telah diberi gelaran fakih. Hubungan
persahabatan dengan Ayuthia juga dijalin. Begitu juga hubungan dengan Johor
terjalin melalui ikatan perkhahwinan seorang puteri Patani, iaitu Raja Kuning
dengan Yang Dipertuan Johor. Pada masa yang sama, Palembang telah menyerang
Johor, tetapi gagal menakluki negeri tersebut. Penyerangan ini dilakukan
setelah mereka mendengar kemangkatan Sultan Mudaffar di Siam.
Sultan Manzur Shah memperoleh
tujuh orang anak, iaitu Raja Ijau, Raja Biru, Raja Ungu, Raja Kuning, Raja Bima
(anak gundik), Raja Emas Kerecang (mangkat semasa berumur lima tahun) dan
Sultan Bahadur Shah. Sekali lagi utusan di hantar ke Siam di bawah pimpinan Wan
Muhammad untuk menjalin semula persahabatan. Pengganti Sultan Manzur
kemudiannya ialah Sultan Patik Siam (putera Sultan Mudaffar) yang ketika itu
berusia sembilan tahun. Atas hasutan seorang pembesar, iaitu Seri Amrat, Raja
Bambang (abangnya) telah membunuh Sultan Patik Siam. Kemudian Seri Amrat
membunuh Raja Bambang. Sultan Bahadur Syah dilantik sebagai pemerintah, tetapi
baginda mati dibunuh oleh Raja Bima atas hasutan Seri Amar Pahlawan. Raja Bima
pula dibunuh oleh Seri Amar Pahlawan.
Selepas peristiwa ini tidak ada
lagi waris lelaki untuk mewarisi takhta kerajaan Patani. Oleh itu pemerintahan
dijalankan oleh raja-raja perempuan. Raja perempuan yang pertama dilantik ialah
Raja Ijau. Baginda digelar Phra Cau. Baginda telah mengadakan projek menawarkan
air sungai Jambatan Kedi dengan cara menggali sungai di Tambangan. Empena jasa
baginda ini, setelah mangkat, baginda digelar Marhum Tambangan. Setelah
mangkat, Phra Cau digantikan oleh Raja Biru. Pada masa pemerintahannya, Raja
Kuning telah diperisterikan oleh Apya Deca. Tetapi semasa Apta Deca ke Siam,
Raja Kuning dipinang oleh Yang Dipertuan Besar Johor lalu mereka berkahwin.
Perbuatan ini sampai ke pengetahuan Apya Deca. Justeru itu berlakulah
peperangan di antara Siam dan Patani. Bagaimanapun, tentera Siam dapat
diundurkan.
Raja Biru digantikan oleh Raja Ungu (bergelar Paduka
Syah Alam) dan seterusnya tampuk pemerintahan dipegang pula oleh Raja Kuning.
Setelah mangkat, baginda digelar Marhum Besar. Sampai di sini putuslah
salasilah diraja Patani.
Patani kemudiannya bernaung di
bawah pemerintahan seorang anak raja yang berasal dari Kelantan bernama Raja
Bakar (selepas mangkat digelar Marhum Teluk). Marhum Teluk diganti oleh Raja
Emas Kelantan (selepas mangkat digelar Marhum Kelantan), dan seterusnya pula
Raja Emas Jayam. Sementara itu tersebut pula seorang anak raja Kedah bernama
Raja Putera yang lari ke Patani semasa Aceh mengalahkan Kedah. Baginda
mengahwini Sulung, iaitu hamba Nang Kebun dan mendapat seorang puteri dinamakan
Raja Dewi. Raja Dewi inilah yang dilantik menjadi sultan menggantikan Raja Emas
Jayam. Baginda bergelar Phra Cau. Selepas pemerintahan baginda, negeri Patani
diperintah pula oleh Raja Bendang Badan (bergelar Paduka Syah Alam). Pada masa
pemerintahan Raja Laksamana (menggantikan Paduka Syah Alam)., baginda telah
lari ke Senggora kerana berkelahi dengan Datuk Kun Pangkalan Pauh dan Datuk
Sai. Untuk membalas dendam, baginda telah membawa tentera Siam untuk menyerang
Patani, tetapi gaga. Oleh itu baginda telah berundur ke Cenak dan membuka
negeri di Nanggim. Datuk Pangkalan Pauh telah mengambil Datuk Tarab dari
Kelantan untuk dijadikan bendahara dan dirajakan di Jambu.
Tidak berapa lama kemudian, Alung
Yunus pula mendirikan kerajaan di Air Lilih. Baginda bergelar Yang Dipertuan.
Baginda telah merombak istana Raja Dacang (Raja Laksamana) untuk diperbuat
masjid. Pada masa ini, beberapa orang alim telah datang ke Patani dan mengajar
hukum-hukum Islam. Mereka ini ialah Sayid Abdullah dari Terengganu, Haji Yunus
berasal dari Jawi Patani dan Haji Abdul Rahman dari Jawa. Baginda mangkat dalam
peperangan dengan Datuk Pangkalan Pauh (saudara sebapa baginda). Selepas
kemangkatannya, negeri Patani mengalami keadaan huru-hara kerana tiada beraja.
Dalam hikayat ini juga diberikan ringkasan tentang
bendahara-bendahara yang memerintah. Terdapat beberapa peringkat
bendahara-bendahara yang memerintah di Patani iaitu yang pertama ialah semasa
Marhum Tambangan bendahara yang memerintah ialah Bendahara Kayu Kelat, kedua
pula ialah semasa Marhum Tengah pula ialah Bendahara Bengkuh, semasa Marhum
Pahang ialah Datuk Sagur seterusnya semasa Marhum Besar ialah Datuk Ternam.
Seterusnaya bendahara kelima iaitu semasa Marhum Teluk pula ialah Datuk Dakra.
Manakala keenam pula semasa Marhum Kelantan terdiri daripada beberapa bendahara
antaranya ialah Datuk Sai, Datuk Bangsia , Bendahara Tuk Tua, Bendahara kempul
Setar, dan Datuk Tanah Merah. Seterusnya yang terakhir ialah semasa Baginda
(Raja Emas Jayam ) ialah Datuk Bangrekam dan Datuk Tarab.
Selain itu dikisahkan pula
peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Marhum Bongsu(Sultan Manzur Syah).
Dikisahkan juga tentang kedatangan sebuah jong dari Cekeram kepunyaan Cau Hang.
Tujuannya adalah untuk meminta gajah daripada Marhum Bongsu untuk dijinakkan.
Beliau bersama-sama anak isteri berserta hamba sahayanya diberikan kawasan di
Cerak kin untuk didiami. Seterusnya diceritakan tentang kematian Datuk Sai.
Akhir sekali, dihuraikan pula tentang-tentang alat muzik kerajaan Patani.
Bahagian inin lebih merupakan huraian tentang cara-cara menggunakan alat-alat
kebesaran kerajaan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar